“Takkanlah nak manjakan suami sendiri pun tak boleh” – Selepas 3 tahun kahwin, wanita ini lega ikut nasihat ibu… siap buat sistem jadual!

JANGAN manjakan suami, demikian prinsip yang dipegang oleh seorang wanita dalam menjaga keharmonian rumah tangganya.

Menurut Puteri Nurfarahain Kasim Hawari menerusi perkongsian tularnya di Facebook, sikap toleransi merupakan perkara yang penting memandangkan dia dan suami sibuk dengan pekerjaan masing-masing.

Malah, wanita berusia 28 tahun itu juga memperkenalkan konsep jadual di awal perkahwinannya sekitar tiga tahun lepas bagi membantu kelancaran kehidupan harian mereka.

“Awal perkahwinan mak selalu cakap, nanti dah kahwin jangan manjakan suami tu. Mula-mula tak faham, takkanlah nak manjakan suami sendiri pun tak boleh.

“Tapi saya ikut juga apa mak cakap, lagipun kami berdua bekerja. So, saya dah buat siap-siap jadual untuk kerja rumah. Nampak macam kelakar tapi ia memang membantu masa awal perkahwinan.

Kak Put bersama suami dan anaknya.

“Dari hari pertama kahwin sampai sekarang pun kami masih amalkan buat kerja rumah sama-sama. Cuma sekarang dah tak ada jadual, tapi kami akan bekerjasama dalam semua hal termasuk kerja rumah dan urus anak,” kata wanita ini yang lebih mesra disapa sebagai Kak Put.

Menurut usahawan produk kesihatan itu, mereka mengambil masa yang agak singkat untuk membiasakan diri sebelum menghapuskan sistem jadual berkenaan sekitar enam bulan selepas mendirikan rumah tangga.

 

Kalau saya masak, dia kemas dapur. Saya cuci kain dan jemur, dia akan lipat. Biasanya hujung minggu kami suka kemas rumah sama-sama.

PUTERI NURFARAHAIN KASIM HAWARI

PENGASAS PRODUK KESIHATAN

Tambahnya lagi, dia juga bersyukur dipertemukan dengan suami, Mohammad Akmal Farhakim, 29, yang disifatkan cukup memahami dan prihatin terhadap keluarga.

“Dalam rumah tangga ni, masing-masing kena mainkan peranan. Tak ada istilah ‘semua ni tanggungjawab isteri’. Tapi masyarakat kita dah terbiasa isteri kena buat semua.

“Dari awal perkahwinan bukan senang, sebab dua orang berbeza baru nak tinggal bersama. Tapi jadi mudah sebab saya suka tanya dan berbincang.

Keluarga bahagia Kak Put.

“Idea buat jadual tu pula saya buat sebab dah terbiasa dengan jadual dalam menguruskan bisnes. Sekarang dah tak perlu jadual, dah jadi rutin dan memang dah tahu tugas masing-masing.

“Kalau saya masak, dia kemas dapur. Saya cuci kain dan jemur, dia akan lipat. Biasanya hujung minggu kami suka kemas rumah sama-sama,” ujarnya lagi.

Menurut Kak Put, sikap sesetengah suami yang meletakkan semua tugas atas bahu isteri juga boleh memberi kesan buruk dalam rumah tangga.

Malah jika berlarutan, ia juga mungkin boleh membawa kepada kesan yang lebih teruk seperti perceraian dan sebagainya.

“Kebanyakannya cerai sebab hal kecil. Pada mulanya mungkin gembira buat semua untuk suami, tapi lama kelamaan akan penat.

“Naluri seorang isteri akan mula rasa semua ni tak adil. Akan mula marah-marah dan memberontak. Yang suami pula dah terbiasa dimanjakan jadi masa tu dah susah nak ubah,” katanya lagi.

Kak Put bersyukur dikurniakan suami yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap keluarga.

Dalam pada itu, perkongsian Kak Put sehingga kini dikongsi lebih 2,500 pelayar Facebook.

Malah, ramai netizen turut bersetuju dengan apa yang disampaikan dan menyifatkan ia sebagai satu resepi dalam kebahagiaan rumah tangga.

“Betul kak Put. Apa yang penting kerjasama. Arwah abah saya pun macam tu ringan tulang tolong arwah mak saya,” tulis seorang netizen.

“Betul sangat. Dalam rumahtangga memang perlu tolak ansur. Saling melengkapi antara satu sama lain,” komen netizen lain.

Antara komen netizen menerusi posting Facebook Kak Put.

“Boleh burnt out si isteri. Letih emosi lagi teruk padahnya. Jadi para suami ringan-ringankan tulang membantu,” kata seorang lagi pengguna media sosial.

Kak Put dan suaminya yang menetap di Bangi mempunyai seorang cahaya mata lelaki, Iman Harris yang kini berusia setahun enam bulan.

Suami Kak Put sebelum ini bertugas dalam satu produksi sebelum berhenti kerja demi menumpukan perhatian kepada perniagaan mereka sejak Januari lalu.

“Kami sebenarnya kenal dari zaman kolej lagi, kami sama-sama belajar di Kuala Lumpur Metropolitan University (KLMU) dalam bidang penyiaran dan filem.

“Dia dah berhenti kerja produksi, sekarang fokus pada bisnes kami. Lebih senang nak uruskan keluarga. Tapi dia masih buat kerja editor secara freelance,” kata Kak Put.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LepatPisang

Sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply