[VIDEO] Huawei dan Maxis bergabung tenaga pamer kehebatan 5G di Langkawi

Ujian rangkaian 5G sedang hebat dilaksanakan di Pulau Langkawi, Kedah di mana semua syarikat telekomunikasi memperlihatkan projek dan penggunaan 5G dalam kehidupan seharian. Huawei Malaysia tidak melepaskan peluang tersebut untuk mempertontonkan telefon 5G pertama diiktiraf di Malaysia, Mate 30 Pro 5G.

Sebagai telefon pintar, tiada kes penggunaan yang ketara boleh menujukkan kelebihan 5G, selain kelajuan yang jauh lebih pantas dari 4G. Dengan kerjasama Maxis, ujian Speedtest menggunakan telefon pintar Mate 30 Pro 5G di rangkaian 5G Maxis, menunjukkan kelajuan muat turun melebihi 1,800Mbps. Ia jauh lebih pantas dari ujian kerjasama antara Maxis dan Celcom.

Di samping itu, Huawei turut menunjukkan perbezaan kelajuan di antara rangkaian 4G dan 5G. Menggunakan telefon Mate 30 Pro 4G (kiri) dan Mate 30 Pro 5G (kanan), dapat dilihat 4G jauh ketinggalan dalam memuat turun aplikasi. Lebih baik lagi, Mate 30 Pro 5G memuat turun aplikasi lebih pantas dari masa yang diambil untuk memasang aplikasi tersebut.

 

Di samping itu, Huawei Malaysia berkesempatan juga menunjukkan fungsi panggilan video 5G. Panggilan tersebut dibuat dari jeti Kuah ke Pusat Kawalan 5G di Pejabat Tanah Langkawi, yang terletak kira-kira 2km jaraknya.

Panggilan video tersebut bukan sahaja lancar, tetapi memaparkan video berkualiti HD serta suara yang jelas.

Huawei masih belum menetapkan tarikh penjualan Mate 30 Pro 5G tetapi menyatakan ia akan dijual tidak lama lagi. Huawei Mate 30 Pro 4G telah dijual di Malaysia pada harga RM3,899 dengan RAM 8GB dan storan 256GB. Bagi versi 5G, pasti harganya lebih tinggi, melainkan harga 4G diturunkan dahulu.

Walaupun hampir semuanya sama, Mate 30 Pro 4G dan Mate 30 Pro 5G hanya ada satu perbezaan, penggunaan cip Kirin 990. Di Mate 30 Pro 5G, ia dikuasakan cip Kirin 990 5G yang bukan sahaja menyokong rangkaian 5G, tetapi memiliki pretasi lebih tinggi dari cip Kirin 990 biasa.

Untuk cip Kirin 990 5G, ia memiliki tambahan modem 5G terbina padanya dan dibina berasaskan arkitektur 7nm EUV yang lebih baik dari arkitektur 7nm tanpa EUV di Kirin 990. Ia juga memiliki 8-teras yang sama dengan Kirin 990, tetapi teras berkuasa sederhana berkelajuan lebih tinggi, iaitu dwi-teras Cortex-A76 2.36GHz. Kuasa grafik juga lebih baik kerana ia turut memiliki kelajuan lebih tinggi 700MHz. Akhir sekali, cip ini dipasang dengan NPU Da Vinci dengan dwi-teras Big dan satu teras Tiny padanya, berbanding satu teras Big dan satu teras Tiny di Kirin 990. Kesemua ini menjadikan cip Kirin 990 5G memiliki prestasi lebih tinggi dari Kirin 990 4G.

Lain-lain dari ini, Mate 30 Pro 5G adalah sama dengan Mate 30 Pro 4G. Ia memiliki skrin OLED melengkung berukuran 6.53-inci dengan resolusi HD Penuh. RAM pula sebesar 8GB dan storan dalaman seluas 256GB, sedia menerima storan tambahan menerusi kad NM.

Untuk kamera, Mate 30 Pro menggunakan kamera utama 40MP F1.6, kamera ultra lebar 40MP F1.8, kamera telefoto 8MP F2.4 dan kamera sensor ToF 3D. Kamera hadapan pula 32MP F2.0 bersama pengesan kedalaman 3D.

Bateri di dalam Mate 30 Pro sebesar 4,500mAh dan menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge 40W melalui USB-C, bersama pengecasan wayarles pantas 27W. Sistem operasi EMUI 10 berasaskan Android 10 digunakan oleh siri Mate 30. Tetapi ia mungkin masih tidak disertakan perkhidmatan Google Mobile Services, memandangkan sekatan Amerika Syarikat masih belum dibatalkan.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LepatPisang

Sumber: soyacincau

Be the first to comment

Leave a Reply