“Janganlah sebar fitn4h… saya tak keluar bilik sewa pun” – Lelaki pernah jalan kaki KL-Kelantan nafi ‘buat hal’ sekali lagi,

MISTERI identiti lelaki yang tular kerana berjalan kaki sehelai sepinggang dari Kuala Lumpur ke Kelantan terus hangat diperkatakan dalam kalangan netizen.

Pada mulanya hanya sekeping gambar yang diambil dari arah belakang dirakamkan oleh seorang pengguna laman sosial Twitter sehingga menjadi tular, tetapi kemudian muncul pula satu klip video didakwa menyerupai lelaki itu berjalan di kawasan sama.

Identiti lelaki yang dikesan di pembahagi jalan di lebuh raya dekat Gua Musang, Kelantan terus menjadi tanda tanya apabila kedua-duanya didakwa sebagai individu berbeza, hanya pelanduk dua serupa.

Sebenarnya, kisah lelaki berjalan kaki ke Kelantan bukanlah pertama kali dilaporkan di negara ini kerana awal tahun dulu kecoh mengenai seorang lelaki yang kisahnya tular kerana sanggup berjalan kaki dari Kuala Lumpur bagi menjenguk ibunya yang sakit di Pasir Mas, Kelantan.

Selain gambar, turut tular klip video seorang lelaki di pembahagi jalan di lebuh raya yang sama. Sumber Bibi Zaleha Zurkiple

Bercakap kepada mStar, lelaki tersebut, Mohd Zuhairi Azlin bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa dia adalah lelaki berbaju hitam dan berseluar jeans yang dirakam berjalan kaki di pembahagi jalan itu.

“Memang kisah saya pernah tular dahulu sebab sanggup jalan kaki dari Kuala Lumpur ke Kelantan, tapi itu pada Januari lalu, bukannya hujung minggu lalu.

“Petang Sabtu tu saya ada di bilik sewa saya di Setapak, Kuala Lumpur. Memang tak keluar bilik pun. Bukan saya yang berjalan kaki tu,” katanya kepada mStar.

Motosikal ada masalah, kemudian nak tumpang makcik saya (ibu saudara) tapi dia tak jadi balik ke kampung selepas dapat tahu perjalanan ke Kelantan hujung minggu lalu sesak teruk.

MOHD ZUHAIRI

Mohd Zuhairi yang berusia 32 tahun berkata, dia dihubungi rakan dan keluarganya susulan kisah ‘lelaki berjalan kaki’ itu sekali lagi tular.

“Saya terkejut bila diberitahu pasal tu. Kawan-kawan dan keluarga tak henti bertanya betul ke saya yang jalan kaki nak balik Kelantan,” ujarnya.

Mohd Zuhairi kesal dengan tindakan pihak yang menyebarkan fitnah mengenai dirinya. Foto ihsan Mohd Zuhairi Azlin

Dia menjelaskan bahawa pada awalnya memang dia bercadang untuk pulang ke kampung di Kelantan sempena Hari Raya Aidiladha hujung minggu lalu, tetapi motosikalnya mengalami masalah dan tidak sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

“Motosikal ada masalah, kemudian nak tumpang makcik saya (ibu saudara) tapi dia tak jadi balik ke kampung selepas dapat tahu perjalanan ke Kelantan hujung minggu lalu sesak teruk.

“Sudahnya, saya dan isteri hanya beraya di Kuala Lumpur dan sebelah petang Ahad pergi ke rumah makcik yang tinggal berdekatan,” kata bekas anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) itu.

Turut membuat penafian di halaman Facebooknya.

Anak sulung daripada empat beradik itu turut menafikan pernah berjalan kaki dari Kuala Lumpur ke Kelantan beberapa kali, sebagaimana yang didakwa di media sosial.

“Hanya sekali saja saya cuba untuk berjalan kaki dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Tapi itu pun tak jalan kaki sampai ke Kelantan sebab dalam perjalanan dekat Plaza Tol Gombak, ada seorang pemuda yang baik hati tumpangkan saya hingga ke Bentong, Pahang dan memberi sedikit duit untuk sambung perjalanan menaiki bas ke Pasir Mas.

“Dakwaan mengatakan saya beberapa kali berjalan kaki dari Kuala Lumpur ke Kelantan adalah tidak benar,” katanya sambil menambah baru diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan, bulan lalu.

Mohd Zuhari (kiri) pernah dibantu oleh seorang pemuda, Danial Hasif pada Januari lalu. Foto Danial Hasif

Pada masa ini, dia sedang mencari pekerjaan yang sesuai di samping membantu mempromosikan pakej pelancongan yang diusahakan oleh ibu saudaranya, dan isterinya pula bekerja sebagai penebar roti canai di sebuah restoran.

Sehubungan itu, Mohd Zuhairi meminta semua pihak berhenti menyebarkan kisah kononnya dia adalah lelaki yang berjalan kaki di pembahagi jalan di lebuh raya itu.

“Janganlah sebar fitnah. Periksa betul-betul kalau rasa sangsi. Sesetengah orang terus sebar tanpa selidik atau mengetahui kesahihannya terlebih dahulu,” katanya.

Sumber: mstar

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LepatPisang

Be the first to comment

Leave a Reply