Seronoknya Berlari Pakai Baju Raya

BERBAJU Melayu lengkap bersamping dan bersongkok bagi lelaki manakala, peserta wanita pula ada yang berbaju kurung selain berbaju kebaya dengan kain batik sambil berlari sejauh lima kilometer.

Itu keunikan acara larian secara sihat, Presint 18 Parkrun Putrajaya diadakan secara mingguan dengan kali ini bertemakan pakaian tradisional, sekali gus memeriahkan sambutan Aidilfitri yang masih diraikan ketika ini.

Sebahagian besar daripada lebih 100 peserta itu memakai pakaian tradisional sambil berlari bermula di Kompleks Futsal Presint 18 sehingga sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Pengarah program, Noor Huda Daud berkata, pemilihan tema berpakaian hari raya adalah bagi meraikan suasana Aidilfitri yang masuk hari ke-11 hari ini selain kelainan bagi acara berkenaan.

“Pada edisi Presint 18 Parkrun ke-34 ini, kita galakkan peserta mengenakan baju raya dan ini julung kali ia diadakan sejak program ini diperkenalkan pada November tahun lalu.

“Sambutan diterima sangat menggalakkan dan hampir separuh daripada peserta yang hadir mengikut tema dicadangkan.

“Kami turut menerima penyertaan daripada peserta sekeluarga pada larian kali ini,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan.

Peserta larian, Adi Aiman Kamaruddin, 34, berkata, dia dan keluarganya tidak ketinggalan menyertai larian itu lebih-lebih lagi tema lariannya yang menarik pada minggu ini.

“Kami sekeluarga sering menyertai Presint 18 Parkrun dan minggu ini lebih istimewa. Saya menyertainya bersama isteri, ibu mentua dan dua anak kecil bersama berlari dengan memakai pakaian raya.

“Sebenarnya memang agak renyah (sukar) apabila berlari menggunakan pakaian ini, tetapi tiada yang mustahil kerana ada juga banyak program larian lain menampilkan tema memakai pakaian tertentu contohnya, tema adiwira,” katanya.

Acara larian Presint 18 Parkrun Putrajaya adalah program mingguan diadakan setiap Sabtu di Kompleks Futsal Presint 18 bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti setempat dan sekitarnya.

VIDEO :

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DD

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LepatPisang

Sumber: hmetro

Be the first to comment

Leave a Reply