Selepas hampir empat tahun menghilang daripada radar seni hiburan, Azlee Khairi, 30, kembali ke pentas lakonan.
Lebih istimewa, pelakon yang pernah mencipta fenomena menerusi Love You Mr Arrogant pada 2013 itu kembali bergandingan dengan pasangannya dalam drama popular siaran TV3 berkenaan, Zara Zya.
Kedua-duanya bersatu semula menerusi naskhah terbaru arahan Feroz Kader, Seadanya Aku, terbitan Country Universal Sdn Bhd.
“Ketika ramai peminat beranggapan saya menyepikan diri daripada dunia seni, tidak dinafikan, saya rindu untuk kembali berlakon. Ada masanya, keinginan untuk beraksi di depan kamera datang menerjah. Begitupun, pembabitan saya dalam drama yang juga bakal disiarkan menerusi slot Akasia TV3 ini bukanlah ‘come back’ saya ke arena seni.
“Saya sebaliknya menganggap undangan daripada penerbit, Kak Jai (Jalena Rejab) lebih kepada rezeki. Saya bersyukur atas peluang dihulurkan ini dan berterima kasih kepadanya yang masih mengingati saya,” kata Azlee.
BARISAN pelakon drama, Seadanya Aku, bersama pengarah, Feroz Kader.
Azlee yang kali akhir muncul di kaca TV menerusi drama, Pergilah Air Mata, siaran 2016 berkata, dia tidak menyangka akan sekali lagi digandingkan dengan Zara.
“Saya sebenarnya tidak kisah dan bersikap terbuka mengenai teman gandingan. Saya tiada masalah untuk bekerja dengan sesiapa sahaja,” katanya yang pernah memenangi trofi Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-27 bersama Zara menerusi kategori online, Gandingan Serasi di Layar.
Selain mereka, drama yang diangkat daripada novel dengan judul sama itu turut menampilkan Elvina Mohamad, Redza Rosli dan Dayana Roza.
Sementara itu, Azlee sudah hampir enam tahun mendirikan rumah tangga dengan wanita dari Brunei, Dayang Norlelawati Puteh.
“Cuma, buat waktu ini kami belum diberikan rezeki untuk menimang cahaya mata. Dalam tempoh tidak aktif berlakon itu juga, saya sebenarnya mengusahakan perniagaan hartanah dan pakaian,” katanya.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DD
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LepatPisang
Sumber; BHonline
Leave a Reply