Bukan hanya rider… peniaga kecil, akak-akak pandai masak mampu lebih ‘masyuk’ dengan Go Eat

PERKHIDMATAN penghantaran makanan sudah menjadi satu keperluan dalam masyarakat hari ini kerana dengan hanya beberapa sentuhan di telefon, makanan sudah tersedia di depan pintu.

Kini boleh dikatakan hampir kesemua rangkaian restoran terkenal, malah gerai jual burger di tepi jalan turut menggunakan perkhidmatan ini dalam mendapatkan lebih ramai pelanggan.

Bertitik-tolak daripada itu, dua anak muda tempatan iaitu Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman dan selebriti, Fikry Ibrahim tampil dengan idea serupa menerusi perkhidmatan penghantaran makanan terbaharu Go Eat.

Go Eat jenama tempatan pertama Malaysia!

Khairil memberitahu Go Eat adalah jenama pertama dari Malaysia malah keseluruhan kaki tangannya juga menggunakan kemahiran rakyat negara ini.

“Seperti kita ketahui beberapa perkhidmatan serupa adalah jenama dari luar negara jadi saya terfikir mengapa tidak kita tampil dengan sebuah jenama tempatan yang dihasilkan oleh rakyat Malaysia sendiri.

Fikry dan Khairil sama-sama membangunkan Go Eat yang akan dilancarkan pada Januari. 

“Alhamdulillah kita bangunkan aplikasi Go Eat sejak 2016 menggunakan pasukan pembangunan, peranti, aplikasi dan sebagainya semua rakyat Malaysia yang buat dan Insya Allah perkhidmatan kita akan bermula secara rasmi bermula Januari ini,” katanya kepada mStar.

Penghantaran makanan ‘home cook’ sebagai kelainan

Bercakap mengenai kelainan Go Eat berbanding perkhidmatan lain sedia ada, Fikry yang juga selaku pengasas bersama memberitahu pihaknya turut memperkenalkan perkhidmatan penghantaran makanan ‘home cook’.

Fikry memberitahu, idea itu dilihat mampu berjaya memandangkan di Malaysia sendiri terdapat ribuan peniaga persendirian atau kecil-kecilan yang mempunyai pelbagai produk berkualiti namun kekurangan ruang untuk mempromosikan produk keluaran mereka.

“Setiap kali saya pulang ke kampung, ada beberapa peniaga depan rumah saya masih di situ dan tidak berkembang kerana tiada platform.

“Jadi saya terfikir alangkah bagusnya jika ada satu platform yang boleh membantu peniaga-peniaga kecil ini untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Salah satu caranya adalah menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan dan kami tambahkan dalam perkhidmatan kami,” katanya.

Sehingga kini Go Eat sudah menerima 3,400 permohonan sebagai penghantar makanan dan 4,000 sebagai vendor makanan.

4,000 peniaga ‘home cook’ sudah mendaftar

Tidak hanya terhenti di situ kata Khairil, menerusi cara itu, pihaknya dapat membuka peluang pekerjaan bukan sahaja kepada penghantar makanan tetapi peniaga-peniaga kecil ini.

“Bayangkan berapa ramai ibu tunggal atau suri rumah yang berniaga secara dalam talian atau membuka gerai boleh mendapat manfaat daripada perkhidmatan ini?

“Pada akhirnya kita berbalik kepada tujuan kami mahu menyediakan perkhidmatan ini iaitu dari rakyat Malaysia kepada rakyat Malaysia,” ujarnya.

Idea itu kata Khairil mula menampakkan hasilnya apabila sehingga kini hampir 4,000 peniaga ‘home cook’ sudah mendaftar dengan mereka selain 3,400 penghantar makanan walaupun ia belum dilancarkan secara rasmi.

Bagaimanapun kata Khairil, bagi memastikan kualiti dan keselamatan makanan terjamin, pihaknya akan membuat tapisan kepada permohonan peniaga sebelum boleh berdaftar sebagai vendor dalam Go Eat.

“Alhamdulillah walaupun belum dilancarkan secara rasmi namun sambutan luar biasa daripada peniaga dan penghantar makanan yang memohon untuk berdaftar di bawah Go Eat sangat luar biasa.

“Insya Allah perancangan kami selepas ini adalah untuk membawa jenama ini ke luar negara seperti Indonesia, Thailand, Filipina, Australia dan Vietnam.

“Jika Indonesia boleh berbangga dengan Gojek, menjadi harapan kami agar selepas ini rakyat Malaysia dapat mengagumi Go Eat,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LepatPisang

Sumber : mstar 

Be the first to comment

Leave a Reply