COVID-19: Perlu ada alasan kukuh untuk perjalanan lebih 10km – KPN

 

KUALA LUMPUR: Orang awam yang ingin melakukan perjalanan melebihi 10 kilometer (km) dari rumah dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), perlu ada alasan kukuh, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengemukakan bukti kukuh seperti menunjukkan bil air atau elektrik sekiranya ada urusan rasmi atau keperluan penting yang perlu dilakukan.

Katanya, perjalanan melebihi 10km hanya dibolehkan kepada orang awam yang mempunyai alasan kukuh untuk keluar dan ada urusan dibenarkan.

“Misalnya, jika orang awam ingin mendapatkan rawatan yang mungkin jauh dari tempat tinggal seperti kira-kira 15km ke klinik atau hospital, ia tidak ada masalah dan hanya perlu menunjukkan surat atau dokumen daripada doktor menyatakan mereka memerlukan rawatan perubatan,” katanya ketika ditemui Bernama di Bukit Aman, di sini, semalam.

Abdul Hamid berkata, pihaknya amat memahami situasi itu dan polis dibenar menggunakan budi bicara untuk membenarkan orang ramai melakukan perjalanan melebihi 10km bagi mendapatkan rawatan perubatan jika ada keperluan.

“Insya-Allah, mereka (anggota polis) akan memahami situasi ini. Saya telah memberikan mereka kuasa seluas-luasnya untuk menggunakan budi bicara berdasarkan fakta di tempat bertugas masing-masing.

“Sebagai contoh, jika terdapat orang awam membawa anak atau orang tua yang tidak sihat untuk mendapatkan rawatan tetapi tidak mempunyai kad, mereka dibenarkan pergi ke hospital tetapi perlu menjelaskan keadaan kepada anggota polis bertugas membuat sekatan jalan raya,” katanya.

Abdul Hamid berkata, beliau sentiasa memberi peringatan kepada anggota bertugas dalam sekatan jalan raya supaya tidak menahan jika terdapat kes orang ramai yang memerlukan rawatan atau kecemasan.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata polis dibenar menggunakan budi bicara untuk membenarkan orang ramai yang ingin melakukan perjalanan melebihi 10km bagi mendapatkan barangan makanan mahupun perubatan sekiranya terdapat keperluan. – BERNAMA

 

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DD

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LepatPisang

Sumber: Bh online

Be the first to comment

Leave a Reply