Kenapa Doa Kita tidak dimakbulkan walaupun diminta pada waktu yang mustajab?

BAGI umat Islam doa merupakan senjata, sumber kekuatan dan harapan untuk mengapai impian, kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat. Dan di samping itu, doa juga sebagai penyelesai bagi setiap persoalan dan jawapan di dalam kehidupan.

Perkongsian daripada ustaz Mohd Masri Mohd Ramli :

KENAPA ALLAH TIDAK KABULKAN DOA.

Saya sering mengulangi mesej yang sama setiap hari Jumaat. Iaitu kelebihan berdoa di hari Jumaat, terutamanya selepas waktu Asar.

Satu hari, saya mendapat satu komen yang bertalu-talu. Asalnya saya menyangka dia ingin bertanya apakah tips untuk doa lebih mustajab. Tetapi penghujungnya, dia menzahirkan putus asa kerana sudah banyak kali berdoa pada waktu yang mustajab yang disebutkan dalam hadis-hadis yang sahih, akan tetapi doanya tetap belum diterima.

Di sini saya kongsikan sedikit jawapan kepada kita semua yang menghadapi masalah yang sama.

1- Kita perlu berkeyakinan bahawa Allah akan menerima doa kita.

Firman Allah:

وَقَالَ رَبُّكُم ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan yang hina [Ghafir 40: 60]

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Dan apabila hamba-hamba Ku bertanya kepada mu tentang Aku, maka [jawablah], bahawa Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi [segala perintah] Ku dan hendaklah mereka beriman kepada Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. [Al-Baqarah 2:186]

2- Kekuatan doa itu banyak bergantung kepada sangkaan kita kepada Allah.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” لَا يَقُولَنَّ أَحَدُكُمُ اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِي إِنْ شِئْتَ ، اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي إِنْ شِئْتَ لِيَعْزِمْ الْمَسْأَلَةَ ، فَإِنَّهُ لَا مُكْرِهَ لَهُ
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Janganlah seseorang daripada kalian berkata: Ya Allah ampuni aku jika engkau Mahu. Ya Allah rahmati aku jika engkau Mahu. Hendaklah bersungguh-sungguh dalam berdoa. Sesungguhnya tiada siapa dapat memaksa Allah. [Sahih al-Bukhari, Kitab ad-Da’awat, hadis no: 5891]

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، أَنّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، قَالَ : ” يُسْتَجَابُ لِأَحَدِكُمْ مَا لَمْ يَعْجَلْ يَقُولُ : دَعَوْتُ فَلَمْ يُسْتَجَبْ لِي
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu meriwayatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Akan dijawab doa salah seorang daripada kalian selagi mana dia tidak tergesa-gesa, iaitu dengan berkata: Aku telah berdoa, tetapi tidak dimakbulkan. [Sahih al-Bukhari, Kitab ad-Da’awat, hadis no: 5892]

3- Apa yang kita sangka baik dalam diri kita boleh jadi hakikatnya tidak baik. Jadi Allah menggantikan dengan yang lebih baik.

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ ، أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : ” مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَدْعُو بِدَعْوَةٍ لَيْسَ فِيهَا إِثْمٌ وَلَا قَطِيعَةُ رَحِمٍ ، إِلَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ بِهَا إِحْدَى ثَلَاثٍ إِمَّا أَنْ تُعَجَّلَ لَهُ دَعْوَتُهُ ، وَإِمَّا أَنْ يَدَّخِرَهَا لَهُ فِي الْآخِرَةِ ، وَإِمَّا أَنْ يَصْرِفَ عَنْهُ مِنَ السُّوءِ مِثْلَهَا ” ، قَالُوا : إِذًا نُكْثِرُ ؟ ، قَالَ : اللَّهُ أَكْثَرُ .
Abu Sa’id al-Khudri radiallahu ‘anhu meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Tidaklah seorang Muslim berdoa dengan doa yang tidak mengandungi dosa dan memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara berikut: (1) Akan disegerakan doanya itu, (2) ditangguhkan ke hari Akhirat, (3) dijauhkan keburukan semisalnya daripada orang yang berdoa. Para sahabat bertanya: Oleh kerana itu, kami perlu banyak berdoa? Baginda menjawab: Allah, pemberianNya lebih banyak [Musnad Ahmad, Musnad Abu Sa’id al-Khudri, hadis no: 10921, Shaikh al-Arnaouth berkata: Isnadnya jayyid]

4- Boleh jadi ada perbuatan-perbuatan haram kita yang membuatkan doa kita kurang berkesan.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا ، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ ، فَقَالَ : يَأَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ سورة المؤمنون آية 51 ، وَقَالَ : يَأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ سورة البقرة آية 172 ، ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ ” .
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu Baik, dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik jua. Sesungguhnya Allah menyuruh orang beriman dengan apa yang pernah disuruh kepada para rasul. Allah berfirman: Wahai para rasul. Makanlah daripada makanan yang baik-baik. Lakukanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kalian lakukan. [Al-Mukminun: 51]. Firman Allah lagi: Wahai orang beriman, makanlah daripada makanan yang baik yang telah kami kurniakan kepada kalian. [Al-Baqarah : 172] Kemudian baginda menyebutkan tentang seorang lelaki yang bermusafir jauh. Keadaanya kusut masai dan diselaputi debu. Dia menadah tangannya ke langit dan menyebut ‘ Wahai tuhan, wahai Tuhan’, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram. Lalu bagaimana mahu diterima (doanya) disebabkan keadaannya itu?
[Sahih Muslim, Kitab az-Zakat, hadis no: 1692]

Ibn al-Qayyim berkata:

وَالْأَدْعِيَةُ وَالتَّعَوُّذَاتُ بِمَنْزِلَةِ السِّلَاحِ ، وَالسِّلَاحُ بِضَارِبِهِ ، لَا بِحَدِّهِ فَقَطْ ، فَمَتَى كَانَ السِّلَاحُ سِلَاحًا تَامًّا لَا آفَةَ بِهِ ، وَالسَّاعِدُ سَاعِدُ قَوِيٍّ وَالْمَانِعُ مَفْقُودٌ؛ ، حَصَلَتْ بِهِ النِّكَايَةُ فِي الْعَدُوِّ وَمَتَى تَخَلَّفَ وَاحِدٌ مِنْ هَذِهِ الثَّلَاثَةِ تَخَلَّفَ التَّأْثِيرُ ، فَإِنْ كَانَ الدُّعَاءُ فِي نَفْسِهِ غَيْرَ صَالِحٍ ، أَوِ الدَّاعِي لَمْ يَجْمَعْ بَيْنَ قَلْبِهِ وَلِسَانِهِ فِي الدُّعَاءِ ، أَوْ كَانَ ثَمَّ مَانِعٌ مِنَ الْإِجَابَةِ ، لَمْ يَحْصُلِ الْأَثَرُ
Doa dan memohon perlindungan Allah itu umpama pedang. Pedang bergantung kepada orang yang menghunusnya, bukan sekadar kepada ketajaman bilahnya. Apabila pedang itu pedang yang sempurna tanpa kecacatan. Lengan yang memegangnya pula lengan yang kuat. Tiada pula perkara yang menghalang. Maka pedang itu berhasil mencederakan musuhnya. Apabila hilang salah satu daripada tiga perkara ini, maka hilanglah keberkesanan senjata itu. Begitu jugalah doa seandainya doa itu sendiri doa yang tidak elok. Atau orang yang berdoa itu tidak menggabungkan hati dan lisannya ketika berdoa. Atau apabila terdapat penghalang daripada terkabulnya doa, maka kesan doa itu tidak diperolehi. [Al-Jawab Al-Kafi]

Wallahua’lam.

#MMMR

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LP

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Lepat Pisang

Sumber : Facebook Mohd Masri Mohd Ramli :

Be the first to comment

Leave a Reply