Amelina terharu Aprena sudi menyapa, akui tiada masalah dengan Iwan

Kuala Lumpur : Penyanyi dangdut, Amelina mendedahkan hubungannya dengan anak-anak komposer juga penyanyi, Iwan Syahman berjalan dengan baik.

Amelina bagaimanapun mengakui, banyak cerita tidak benar disebarkan sehingga membuat dia tersentuh ketika kemunculan semula dalam karier seni selepas agak lama menyepikan diri.

“Saya banyak berinteraksi dengan Aprena dan Along (Wan Ramada Agus Putra) manakala, Angah (Oktovia Manrose) saya jarang-jarang jumpa dan tak pernah lagi terserempak.

“Sebelum ini, Aprena datang memperkenalkan diri dan saya terkejut kerana dia dah dewasa. Kiranya waktu saya kembali aktif, dia dah berlakon. Saya pula waktu itu umur dah 40 tahun, ketika dia datang perkenalkan diri.

“Dia (Aprena) tanya sama ada saya kenal dia lagi? Tambah pula, dia perkenalkan diri sebagai ‘Baby’. Saya hairan kerana dia cantik sangat dan apabila diberitahu dia anak Iwan, saya terkejut kerana sudah dewasa.

 

 

“Rasa suatu ketika dulu, saya pernah gendong dia masa masih kecil. Lagipun, dia yang paling bongsu. Waktu Aprena perkenalkan diri, meleleh airmata saya kerana terasa masa begitu cepat berlalu,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Amelina lagi, Wan Ramada pula pernah menghantar mesej di Instagram miliknya dan dia merasa tersentuh dengan perkara itu.

“Bagi saya, hubungan itu sangat akrab. Malah, saya sebenarnya dengan abang Iwan juga tiada masalah dan pernah bertembung dengannya waktu kami sama-sama terbabit dalam karnival jualan.

“Saya pergi booth dia dan tegur perkenalkan diri. Dia terkejut dan mesra saja layan saya. Jadinya perhubungan kami tiada masalah. Macam saya ini, orangnya penuh dengan kasih sayang dan benda lama yang dah lalu, biarkanlah.

“Ia ibarat takdir yang sudah diatur dan kita kena jalaninya tanpa rasa apa-apa. Tiada langsung perasaan negatif kerana dalam kehidupan pusing-pusing pun, akan jumpa juga. Di situlah Allah nak menguji kita sama ada masih marah atau sebaliknya dan saya tak pernah pun marah dengan bapa dia (Iwan),” katanya.

Amelina memuji didikan Iwan dan bekas isterinya, Allahyarham Rosnah Mohd Noor yang mendidik anak-anak mereka agar menghormati dan mengingati orang lain.

Semalam, Aprena Manrose hadir menyaksikan persembahan Amelina dalam Konsert Milenia 2023 di Zepp Kuala Lumpur.

Malah, Amelina turut memilih menyampaikan hadiah disediakan penganjur kepada Aprena.

“Bagus dia datang ‘support’ (sokong). Saya rasa anak-anaknya (Iwan) sangat menghargai saya. Apabila ada benda-benda besar sebegini (konsert) saya pasti teringatkan mereka.

“Dalam ‘show’ besar ini, kita tak dapat beri penghargaan kepada ayah dia kerana dah tak nak terbabit dalam industri. Jadi, ucapan terima kasih saya itu disalurkan menerusi anak-anaknya saja,” katanya.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LP

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Lepat Pisang

Sumber: TehTarikKaw

Be the first to comment

Leave a Reply