Eda Ezrin reda sambut raya di tirai besi

Penyanyi dikir barat moden Eda Ezrin yang dibebaskan daripada pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba pada awal bulan ini dijangka dibebaskan selepas Aidilfitri.

Ibu saudaranya Wan Roshayati Wan Yusof berkata, ibu penyanyi itu, Zaharah Mamat, 47, memaklumkan Eda Ezrin dan lima lagi rakyat Malaysia termasuk suaminya akan menyambut Aidilfitri di Penjara Narathiwat.

“Baru-baru ini, Zaharah melawat Eda Ezrin dan memberitahu tidak akan meraikan Hari Raya bersama keluarganya. Dia, suaminya dan empat yang lain hanya akan dibebaskan selepas Hari Raya.

“Ibunya memberitahu dia sedih kerana anak sulungnya tidak dapat bersama mereka untuk menyambut Hari Raya, tetapi dia menerimanya dengan hati terbuka,” kata ahli perniagaan berusia 55 tahun itu.

Wan Roshayati berkata, Zaharah juga merancang membeli pakaian raya kepada anaknya, tetapi dimaklumkan banduan hanya dibenarkan memakai pakaian yang disediakan.

Menurutnya, Eda Ezrin yang nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail turut memberitahu ibunya bahawa dia akan meneruskan kerjaya nyanyian apabila dibebaskan.

Pada 14 Januari lalu, Eda Ezrin dan lima lagi rakyat Malaysia termasuk suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan dadah.

Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan penggunaan dadah, tetapi menafikan pertuduhan memiliki bahan terlarang itu.

Pada 6 Mac lalu, keenam-enam mereka dibebaskan Mahkamah Wilayah Narathiwat daripada pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LP

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Lepat Pisang

Sumber:hm 

Be the first to comment

Leave a Reply