Saya mimpi selama 3 hari

Dalam kehidupan ini ramai yang mengimpikan mendapat pengakhiran terbaik. Namun untuk ke arah itu haruslah ikhlas dalam mencari keredaan Yang Maha Esa.

Justeru, dalam kalangan selebriti wanita tanah air kini didapati semakin ramai juga sudah berhijrah imej kepada bertudung dan patuh syariah.

Harapan mereka pastinya perubahan itu mampu dikekalkan dan istiqamah kerana dalam hidup ini sentiasa ada ujian yang dihadirkan Allah SWT.

Ikuti rangkuman penghijrahan beberapa selebriti wanita tempatan seperti Nora Danish, Shasha Abedul, Neera Azizi, Syasya Rizal dan Ardini Angeline Tan yang kini cantik dan manis bertudung.

Nora Danish

Melihatkan penampilannya yang kini bertudung, Nora Danish, 43, benar-benar tekad mahu memperbaiki diri ke arah kebaikan dengan kerap hadir ke majlis ilmu.

Tidak hanya dirinya saja berhijrah, Nora turut mengajak dua anak lelakinya, Putra Rayqal Ramli, 18, dan Mohamed Neqayl, 7, melakukan bersama.

“Saya mula terdetik untuk memakai tudung sejak usia 40 tahun. Namun ketika itu hati ini masih lagi berbolak-balik, tetapi saya sedar perlu ada tekad.

“Alhamdulillah, selepas kerap menghadiri majlis keagamaan dianjurkan rakan baik saya, Betty Rahmad, ia menguatkan hati saya makin yakin mahu berubah.

“Ditambah lagi, ramai sebenarnya yang doakan saya bertudung sebelum ini dan Allah izinkan saya mula memakai tudung pada Jun 2023 lalu,” katanya.

Menurut Nora, hatinya juga pernah dijentik dengan perasaan malu dalam diri kerana masih tidak berubah walaupun kerap mendengar ceramah agama yang dihadiri.

Makin selesa bertudung, Nora mengakui ibunya, Salimah Talib adalah individu paling gembira dengan perubahan itu dan mahu dia kekal istiqamah.

Pada Ramadan ini, Nora sudah berjaya khatam al-Quran dalam tempoh 10 hari yang baginya adalah hadiah istimewa sempena ulang tahun kelahiran ke-43 pada 7 Mac lalu.

Shasha Abedul

Pernah dikecam netizen kerana masih tidak bertudung selepas pulang dari umrah pada Ramadan 2023, Shasha Abedul, 29, ketika itu tidak ambil peduli.

Hidayah yang sesungguhnya milik Allah, bagaimanapun akhirnya membuka hati pelakon drama Project Exit ini mula tampil memakai tudung pada September tahun lalu.

“Saya bersyukur Allah gerakkan hati memakai tudung dengan kerelaan sendiri apabila terbit rasa bersalah ketika ingin memuat naik gambar tidak menutup aurat di media sosial.

“Masa itu pun bila nak keluar rumah tidak bertudung buat saya jadi tak selesa seperti diganggu rasa bersalah,” katanya yang berharap terus kekal istiqamah.

Selepas berhijrah, Shasha juga didapati membuang semua gambarnya tidak bertudung di media sosial, sekali gus perubahan itu dianggap mengejutkan pengikutnya.

Mengakui hasrat bertudung itu sudah lama ingin dilakukannya, Shasha enggan terburu-buru kerana tidak mahu buat satu-satu perkara setengah jalan.

“Saya suka buat dengan sungguh-sungguh dan menghadiri kelas agama sebelum itu sangat penting untuk kita fahamkan kenapa perlu tutup aurat,” katanya.

Pada 11 Januari lalu, Shasha juga bertunang dengan lelaki pilihannya yang dirahsiakan identiti dan berharap hubungan mereka kekal sehingga ke jenjang pelamin.

Neera Azizi

Mula bertudung pada Februari tahun lalu selepas balik umrah, Neera Azizi, 27, mengaku dia bermimpi hijrah memakai tudung tiga hari berturut-turut.

“Mimpi pakai tudung itu saya alami sebaik pulang dari umrah. Saya mimpi tiga hari berturut-turut dan inilah hidayahnya.

“Alhamdulillah, ramai juga yang sokong saya pakai tudung terutama tunang bila dia selalu berikan semangat. Terima kasih Allah,” katanya amat bersyukur.

Neera bagaimanapun memaklumkan pernah berhadapan permintaan pihak produksi yang ingin dia membuka tudung di set penggambaran saja.

“Saya tolak tawaran berlakon itu dengan baik kerana tidak mahu menipu penonton. Lagi pun, saya dah pakai tudung dan takkanlah nak buka hanya kerana kerja.

“Tak perlu rasanya saya terima tawaran itu walaupun dimaklumkan watak berkenaan dibuat khas untuk saya dan siri panjang ada 50 episod,” katanya.

Menurut Neera, dia ada prinsip kehidupan yang dipegang dan sentiasa percaya pada rezeki kerana keinginannya adalah kekal istiqamah dan impian jadi wanita solehah.

Pada pertengahan Januari lalu, Neera dilaporkan sudah bertunang dengan lelaki pilihannya dikenali Hafizi iaitu seorang mutawif dan mereka dijangka bernikah Julai ini.

Syasya Rizal

Sejak mengumumkan keluar daripada anggota kumpulan Dolla setahun lalu menampilkan Syasya Rizal turut berubah. Daripada gadis yang sering tampil berpakaian seksi Syasya atau nama Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, tampak ayu bertudung.

Baru sahaja melancarkan lagu Raya Pum Pang duet bersama Nur Fazura, nama Syasya kembali menarik perhatian ramai.

Syasya sebelum ini memaklumkan dia tidak pernah berhasrat untuk membuat comeback dunia hiburan namun selepas mendapat tawaran daripada pihak Universal Muzik Malaysia untuk merakamkan lagu membuatkan dia bersetuju.

Malah suaminya Nasrullah Mohd Sapi tidak pernah menghalang Syasya untuk membabitkan diri dalam dunia seni.

Syasya mendirikan rumah tangga dengan Nasrullah pada 20 April tahun lalu dan menimang cahaya mata pertama pada 23 Disember tahun lalu.

Ardini Angeline

Berhijrah agama dan penampilan bertudung apabila mendirikan rumah tangga dengan pengarah dan pelakon, Sabri Yunus, 64, pada Oktober 2023, Angeline Tan, 58, atau nama Islamnya, Ardini amat bersyukur.

Walaupun ketika mula-mula bertudung tahun lalu, dia tidak menafikan ada berasa panas dan rimas, namun sekarang semua ujian itu sudah berubah menjadi selesa.

“Syukur, bila saya dah pakai tudung sekarang memang rasa selesa dan kemas. Walaupun ada juga yang cakap nampak saya cantik dan manis, itu hanya pujian.

“Sebagai mualaf, kalau orang bukan Islam tanya saya kenapa bertudung? Saya tidak jawab sebab menutup aurat kerana kebanyakan mereka tidak faham.

“Jadi, saya kena terangkan kenapa Islam wajibkan wanita pakai tudung kerana inginkan golongan wanitanya nampak kemas dan cantik.

“Ditambah kena pakai baju lengan panjang lagi dan saya terangkan, dalam Islam wanitanya sangat berharga dan amat dihargai. Umpama contoh, coklat yang mahal lagilah kena bungkuskan dengan cantik,” katanya.

Menurut pelakon yang popular dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu ini, dia berharap akan kekal istiqamah dalam hijrah itu kerana perubahan dilalui pada kehidupan sekarang sangat positif dan bahagia.

Angeline yang memeluk Islam pada 26 September 2023 berkata, dia juga sangat seronok berpuasa di bulan Ramadan selain dapat melakukan solat Tarawih bersama suaminya dan keluarga.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LP

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Lepat Pisang

Sumber:hm 

Be the first to comment

Leave a Reply