
Tayar depan treler yang pecah hingga menyebabkan kenderaan itu gagal dikawal dan memasuki laluan bertentangan, menjadi punca kemalangan menyebabkan lima maut termasuk pasangan suami, isteri dan anaknya di Kilometer 58.1, Lebuhraya PLUS arah selatan, malam tadi.
Kemalangan jam 11.30 malam yang membabitkan empat kenderaan dengan dua daripadanya terbakar turut menyebabkan lapan mangsa cedera termasuk tiga parah.
Mangsa yang maut adalah pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stepwagon Spada, Nasaarudin Pardi, 36; isterinya, Siti Khazira Bani,35; dan anak mereka, Mariam, 2, dari Kota Tinggi.
Dua lagi mangsa yang maut adalah pemandu kereta Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dari Nilai, Negeri Sembilan dan penumpang hadapan kereta itu berusia 20-an yang belum dikenal pasti identitinya.
Nasaarudin dan Siti Khazira disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom, manakala Iklil Nuraudah, lelaki yang menumpang keretanya serta Mariam maut di lokasi kemalangan dengan semua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata kemalangan berlaku apabila tayar hadapan kanan treler dipandu Abdul Rahman Muhammad Rashid Rajos, 35, dari arah Johor Bahru menghala ke Kuala Lumpur pecah, menyebabkannya hilang kawalan dan bergesel dengan kereta Toyota Camry dipandu Ow Yang Meng yang berada di laluan sama.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan treler memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta dipandu Iklil Nuraudah dan Nasaarudin yang sedang dalam perjalanan menghala ke Johor Bahru.
Katanya, pertembungan itu juga menyebabkan kereta Nasaarudin terbakar sepenuhnya tetapi penumpang dan pemandu sempat dikeluarkan dari kenderaan sebelum api merebak.
“Dalam kejadian itu, tiga lagi anak Nasaarudin yang berusia masing-masing empat, tujuh dan sembilan tahun parah serta dihantar ke Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom untuk rawatan lanjut.
“Selain Abdul Rahman dan Yang Meng, tiga lagi mangsa yang cedera dan dirawat di hospital sama ialah penumpang kereta Toyota Camry, Ow Yang Jun, 37; Soon Kim Ti, 25, dan Ow Yu Cheng, 2,” katanya di sini hari ini.
Susulan kemalangan itu, Bahrin berkata, polis menahan Abdul Rahman untuk siasatan lanjut kes berkenaan dan setakat ini, ujian air kencing dilakukan terhadapnya adalah negatif.
Beliau berkata, identiti tiga anak Nasaarudin yang parah pula belum diketahui kerana dokumen diri terbakar bersama kenderaan dinaiki mereka.
Sementara itu, Komander Operasi Kanan Nizar Mamun dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, berkata 13 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam dan Kulai bersama tiga jentera terbabit dalam operasi menyelamat.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati kebakaran membabitkan MPV Honda Stepwagon dan treler,” katanya.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LP
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Lepat Pisang
Sumber: hm
Leave a Reply