
Jakarta: Malang menimpa seorang lelaki dan anaknya apabila mereka ditinggalkan di tengah Lebuhraya Cipali dalam perjalanan pulang ke Indramayu di wilayah Jawa Barat dari Aceh.
Detik melaporkan, Arianto dan anaknya menaiki bas ALS menuju ke Indramayu, namun sebelum tiba di destinasi, mereka diturunkan di Kilometer 110 Lebuhraya Cipali, Subang.
Mereka ditemui oleh anggota peronda Polis Subang di bahu jalan dalam keadaan lemah dan keliru, pada pagi Sabtu.
“Sekitar jam 5.30 pagi, kami membuat rondaan dari Kilometer 102 hingga Kilometer 117.
“Ketika sampai di Kilometer 110.400 di Lorong A, seorang lelaki melambai ke arah kenderaan kami untuk meminta bantuan,” kata Ketua Polis Subang, Asisten Komisioner Sudirianto kepada Detik ketika dihubungi.
Sudirianto berkata, ketika ditemui Arianto sedang berdiri di tepi jalan manakala anaknya duduk di atas rumput.
“Apabila ditanya, Arianto menjelaskan dia ditinggalkan oleh bas dinaiki.
“Saya tanya, siapa yang tinggalkan dia? Adakah keluarganya? Tetapi rupanya pemandu bas itu yang menurunkannya di situ,” katanya.
Beliau berkata, Arianto memberitahu dia dalam perjalanan pulang ke Indramayu menggunakan bas.
Tiketnya yang berharga 1.3 juta rupiah (kira-kira RM390) dibelikan oleh majikannya.
Menurut Sudirianto, siasatan mendapati Arianto bekerja dan menetap di Lhokseumawe, dan mengikut rekod, isterinya yang berasal dari Aceh sudah meninggal dunia.
“Saya juga sempat melihat tiketnya yang memang bertolak dari Aceh. Malangnya, dia dan anaknya diturunkan di jambatan lintasan dan terpaksa bermalam di bawah jambatan sebelum kami terserempak dengan mereka pagi itu,” kata Sudirianto.
Menurutnya, anak Arianto menghidap penyakit yang menyebabkan tidak boleh berjalan jauh.
“Keadaan itu menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada bantuan untuk meneruskan perjalanan.
“Bagi memastikan keselamatan dua beranak itu, polis membawa Arianto dan anaknya menaiki kereta peronda sebelum menghantar mereka untuk bertemu dengan ahli keluarga di kawasan Cikedung, Indramayu.
“Kami menghubungi ahli keluarganya dan membuat temu janji di Cikedung.
“Setelah tiba di sana, dua beranak itu akhirnya dijemput oleh keluarga mereka,” katanya.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LP
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Lepat Pisang
Sumber:hm
Leave a Reply