
Bekas pembantu tadbir kewangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dijatuhkan hukuman penjara 468 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas 36 pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berjumlah lebih RM16 juta.
Hakim Musli Ab Hamid turut memerintahkan tertuduh, Mohd Zairull Arzuan Mohd Shamsuddin Ja’afar @ Ang Chui Thong, 38, didenda RM180 juta dan jika gagal dikenakan penjara 36 bulan dan tiga sebatan.
Bagi setiap 36 pertuduhan pengubahan wang haram, Mohd Zairull Arzuan dihukum penjara 12 tahun dan denda RM5 juta jika ingkar penjara sebulan dengan hukuman penjara berjalan serentak.
Bagi setiap tiga pertuduhan CBT pula, dia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan satu sebatan dengan hukuman penjara juga dijalankan serentak.
Berikutan hukuman penjara akan berjalan serentak, Mohd Zairull akan menghabiskan sekurang-kurangnya 12 tahun penjara bergantung kepada sama ada dia mampu membayar denda RM180 juta tetapi jika gagal, dia perlu menghabiskan tiga tahun lagi di penjara.
Berdasarkan fakta kes, Mohd Zairull melakukan kesalahan pengubahan wang haram antara tahun 2020 dan 2022, membabitkan sejumlah RM6,013,504.30, manakala kesalahan CBT sebanyak RM10,272,350.13 dilakukan antara 2019 dan 2021.
Difahamkan, perbuatan itu terdedah apabila penyata gaji Mohd Zairull menunjukkan transaksi yang mencurigakan, dengan lebih RM4 juta dikreditkan ke dalam akaunnya.
Dia adalah pegawai bertanggungjawab bagi simulasi gaji jabatan itu di Sarawak menyerahkan surat peletakan jawatannya berkuat kuasa 31 Jan 2022.
Bagaimanapun, beliau memendekkan tempoh notisnya dan meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta pada 31 Dis 2021.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Amanina Wan Din, Mohd Ashrof Kamarul dan Manjira Vasudevan manakala peguam Christopher Bada mewakili tertuduh.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LP
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Lepat Pisang
Sumber:hm
Leave a Reply