
Insiden sebuah kereta mengejar kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM 308 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, di sini, semalam berakhir dengan kemalangan tiga kenderaan.
Difahamkan, insiden kejar mengejar itu membabitkan perselisihan faham berkaitan hal kekeluargaan di mana seorang lelaki yang memandu Honda City bertindak mengejar adiknya yang dikatakan mengikut teman lelaki menaiki pelbagai guna (MPV) jenis Proton Ertiga.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima dua laporan mengenai kemalangan tiga kenderaan itu, sekitar jam 10.46 pagi semalam yang mana kejadian itu turut tular di media sosial.
Beliau berkata, kemalangan itu tidak mengakibatkan kemalangan jiwa, namun siasatan awal mendapati terdapat unsur jenayah yang berlaku sebelum kemalangan itu berlaku.
“Kejadian berlaku di lorong kanan lebuh raya apabila salah satu kenderaan terbabit didapati membrek secara mengejut yang menyebabkan ia dilanggar dari arah belakang oleh dua kenderaan lain.
“Kemalangan berpunca daripada perselisihan faham di antara dua kenderaan itu, dan berlaku aksi kejar mengejar sebelum salah satu kenderaan membrek secara mengejut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ditanya dakwan tular mengatakan kejadian itu membabitkan pemandu Honda City bertindak mengejar adiknya yang dikatakan mengikut teman lelaki menaiki Proton Ertiga, Mohamad Nazri megakuinya dan berkata, kes berkenaan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Selangor.
“Kes sudah dirujuk ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD Serdang bagi tindakan selanjutnya. Siasatan awal mendapati terdapat unsur jenayah yang berlaku sebelum kemalangan ini.
“Benar (abang mengejar adik perempuan). IPD Kampar hanya ambil tindakan berkaitan kes kemalangan sahaja manakala kes jenayah itu diambil tindakan oleh IPD Serdang kerana kejadian bermula di sana,” katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial video memaparkan kejadian di mana sebuah Proton Ertiga warna putih yang sedang dikejar oleh Honda City warna kelabu tiba-tiba berhenti mengejut di tengah-tengah lorong lebuh raya, mengakibatkan kemalangan beberapa kenderaan di belakang mereka.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LP
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Lepat Pisang
Sumber: HM
Leave a Reply