
Seorang pelajar perempuan Universiti Utara Malaysia (UUM) maut selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua bas di hadapan perhentian bas di Jalan Persiaran Perdana, di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, yang berasal dari Felda Cemplak, Labis, Johor itu meninggal dunia akibat kecederaan parah di badan ketika mendapatkan rawatan di hospital.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Radzi Abd Rahim berkata, kejadian berlaku jam 8.45 pagi hari ini yang membabitkan dua bas di lokasi kejadian di UUM, Sintok.
Beliau berkata, hasil siasatan yang dilakukan mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah bas yang dipandu lelaki berusia 37 tahun sedang berhenti di hadapan perhentian bas untuk mengambil penumpang.
Katanya, ketika sedang berhenti, secara tiba-tiba bas terbabit dilanggar oleh sebuah lagi bas yang dipandu lelaki berusia 32 tahun dari arah belakang.
“Impak perlanggaran itu menyebabkan bas yang berhenti itu menggelongsor ke hadapan melanggar besi penghadang jalan seterusnya menghimpit penuntut perempuan terbabit yang ketika itu sedang berjalan kaki menunggu giliran untuk menaiki bas yang melanggar itu.
“Akibat kemalangan, pelajar terbabit mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd Radzi berkata, namun pada jam 6.30 petang, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, UUM sedang menunggu laporan lengkap berhubung kemalangan yang membabitkan sebuah bas kitaran kampus terbabit, hari ini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, pihak universiti sudah pun mengarahkan Jabatan Keselamatan UUM untuk menghubungi pihak polis bagi menyiasat insiden berkenaan.
Beliau berkata, pihak polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kemalangan itu.
“UUM akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan penuh yang akan diterima,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! LP
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @Lepat Pisang
Sumber: hm
Leave a Reply