Sedekah Di Bulan Ramadhan, Edar Roti John Secara Percuma Kepada Wanita Mengandung

TUMPAT: Seorang peniaga roti john di Bazar Ramadan Wakaf Bharu, di sini, akan memberi makanan itu secara percuma kepada wanita mengandung yang hadir ke gerai miliknya.

Pemilik gerai Roti John Malaya, Hafizi Hanafi, 31, berkata makanan itu diberi percuma setiap Jumaat sebagai bersedekah bagi mengambil keberkatan bulan Ramadan.

“Saya memilih pendekatan ini sebagai cara untuk bersedekah selain menghilangkan rasa mengidam di kalangan ibu mengandung jika ada yang ingin merasai roti john.

“Setiap seorang (ibu mengandung) menerima satu roti john dan boleh memilih sama ada berintikan ayam atau daging,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hafizi berkata, selain wanita mengandung, pelanggan pertama yang mengunjungi gerainya setiap hari juga akan menerima roti john percuma dan ia dianggap sebagai pembuka rezeki untuk perniagaannya.

Dia yang dibantu dua pekerja, berkata roti john yang dijualnya dengan harga RM4 hingga RM6 mempunyai tiga jenis iaitu ayam, daging serta kambing.

“Setiap pelanggan yang datang ke gerai kami akan menerima satu kupon dan jika sudah mengumpulnya sehingga lima keping, akan menerima satu roti john secara percuma,” katanya.

Hafizi yang juga memelihara kambing dan menjalankan perniagaan jual beli haiwan ternakan itu, berkata konsep bersedekah sudah dilakukan sebelum ini dengan menyumbangkan sejumlah daging kambing yang seberat 100 gram kepada pelanggannya.

Seorang pelanggan, Nurul Mahirran Zulkifily, 34, berkata dia yang mengandung tujuh bulan memang teringin untuk merasai roti john sebelum singgah di gerai milik Hafizi.

“Kebetulan saya turut berniaga minuman di Bazar Ramadan di sini, jadi saya berkesempatan singgah dan merasai keenakan roti john ayam yang diberi secara percuma.

“Konsep berniaga sambil bersedekah sebegini agak bagus kerana selain mengambil keberkatan bulan Ramadan, ia dapat berkongsi rezeki dengan orang lain,” katanya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DD

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LepatPisang

Sumber: BH Online

Be the first to comment

Leave a Reply