Juruterbang AirAsia Memberi Kejutan Pengumuman Yang Mengharukan Kepada Ibu Bapanya Semasa Penerbangan

Sebuah video telah tular, di mana ia menunjukkan seorang juruterbang AirAsia membuat kejutan kepada ibu bapanya di atas kapal terbang dengan pengumuman istimewa selepas mengatur penerbangan mereka tanpa pengetahuan kedua orang tuanya.

Juruterbang AirAsia, Genesis Bernardo berkongsi video kenangan indah yang diambil semasa penerbangan dari Filipina ke Taiwan pada 20 Februari lalu. Adik lelakinya, Joshua Bernando, mula merakamkan detik berkenaan, selain senyuman di wajah ibu bapa mereka. Namun, riak wajah mereka berubah setelah mendengar suara anak mereka di interkom.

Genesis Bernardo|Facebook

“Selamat pagi tuan-tuan dan puan-puan, saya Genesis Bernardo, kapten anda.” Kemudian selepas beberapa penerangan standard pra-penerbangan, Genesis terus mengatakan bahawa, “Saya mahu mengambil kesempatan ini untuk menyambut kehadiran dua insan yang sangat penting dalam hidup saya, Encik Paul Bernardo dan Puan Solly Bernardo, bapa dan ibu saya.

Saya mahu berterima kasih kerana sudi menyayangi saya sepenuh hati dan mendidik saya agar sentiasa buat yang terbaik dalam apa jua yang saya lakukan. Terima kasih juga kerana telah memberi inspirasi kepada saya untuk tidak berhenti mengejar impian dan membuatkan saya percaya bahawa semuanya tidak mustahil jika kita percaya pada diri sendiri. Ibu dan ayah merupakan sebab utama saya berjaya menerbangkan pesawat ini,” kata kapten berkenaan.

Genesis Bernardo|Facebook

Ibu bapanya mendengar dengan khusyuk sehingga menitiskan air mata gembira. “Saya sangat berbesar hati kerana kamu berdua berada di pesawat ini sebagai penumpang saya. Saya bangga kerana ibu dan ayah berjaya membentuk saya seperti hari ini… Saya juga berharap saya dapat membanggakan ibu dan ayah,” kata Genesis lagi.

Dia juga sempat menyambut adik lelakinya yang turut menyambut hari ulang tahun kelahirannya pada hari itu dengan berkata, “Selamat Hari Lahir. Saya sangat gembira menerima kamu sebagai penumpang saya buat kali pertama.”

Genesis turut menyimpulkan mesejnya dengan berterima kasih kepada ibu bapanya kerana memotivasikannya dan adik-beradiknya yang lain. “Berikan sorakan buat ibu bapa yang sentiasa menginspirasikan anak-anak mereka dan kepada mereka yang terinspirasi dengan ibu bapa mereka bagi mengejar cita-cita,” tambahnya lagi dan disambut dengan tepukan oleh penumpang dan anak kapal yang lain.

Joshua turut membuat kenyataan di Facebook bahawa abangnya itu sebenarnya telah bergurau untuk membatalkan rancangan mereka itu. Jadi, Joshua menyangka bahawa tiada kejutan yang dibuat, akan tetapi akhirnya dia turut terkejut.

Joshua turut berkongsi gambar saat-saat mengharukan berkenaan dengan nota yang menasihatkan agar orang lain sentiasa menghargai keluarga, “Jangan pernah melepaskan peluang untuk bersama-sama dengan keluarga. Sentiasa adakan masa untuk mereka. Banggakan mereka kerana ia merupakan hadiah paling bermakna daripada seorang anak. Mereka merupakan harta paling bermakna dalam hidup kita…Akhirnya, tidak akan ada penyesalan dalam kamus hidup kita kelak.”

Ternyata ia merupakan nasihat yang berguna buat kita semua. Anda boleh saksikan video tersebut di bawah:

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DD

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LepatPisang

Sumber: Genesis Bernardo/Facebook   via @EraBaru

Be the first to comment

Leave a Reply