“Ini Menunjukkan Kemurnian Hati Tuanku…”- Rizalman Ibrahim Dedah Tunku Azizah Bakal Menyarung Kain Sentuhan Banduan

Pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim mendedahkan persalinan pertabalan yang bakal disarungkan Raja Permaisuri Agong pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, 30 Julai ini mendapat sentuhan sentimental daripada banduan.

Rizalman dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI berkata, baginda Tuanku yang sememangnya berjiwa rakyat turut membawakan elemen itu dalam kain tenunan yang bakal disarung pada hari pertabalan baginda.

Katanya, itu jelas apabila baginda akan menyarung rekaan kain tenun yang diilhamkan baginda sendiri dari hasil kerja tangan penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong di Pahang.

“Ini menunjukkan kemurnian hati Tuanku dalam menggunakan khidmat banduan-banduan di penjara, yang mana golongan ini kebanyakan dinyahkan dari masyarakat tetapi diangkat martabat oleh baginda sendiri.

“Saya sendiri sebagai pereka fesyen turut rasa tempiasnya apabila memegang hasil kerja tangan banduan dipenjara yang akan dipakai pada hari bersejarah dan gilang gemilang itu nanti,” katanya.

Rizalman, anak kelahiran Pulau Pinang berusia 47 tahun itu, dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan persalinan Raja Permaisuri Agong serta anakanda-anakanda baginda

Rizalman juga menyifatkan dalam persiapan menghadapi hari-hari pertabalan, baginda dilihat sangat teliti dan mementingkan perincian yang bersifat sentimental.

“Baginda seorang yang amat sensitif kepada persekitaran, sangat peka kepada segala jenis emosi, salah satunya dalam tenunan songket hasil kerja tangan banduan itu, baginda meminta untuk diselitkan lambang negeri Johor dan negeri Pahang di colek-colek tenunan kain tersebut.

“Ini merupakan satu perkara yang unik dan yang pertama seumpamanya di negara kita, sebelum ini tenunan Pahang tiada lambang-lambang sedemikian, dan research & development telah dilakukan oleh pihak penjara untuk menghasilkannya,” kata Rizalman.

Jelas pereka fesyen itu lagi, baginda juga meminjam kepingan-kepingan emas milik Almarhumah Bonda Tuanku yang akan beliau jahitkan di kain persalinan pertabalan Tuanku bagi memberi elemen ‘something borrowed’.

Selain itu, Rizalman berkata, beliau juga turut diberi amanah menjadi pereka dalaman Balairung Istana Negara, yang mana antara pesan Tunku Azizah kepada beliau ialah mencari kembali dua kerusi bersemayam yang pernah dipakai oleh kedua-dua almarhum Ayahanda Tuanku ketika kedua-duanya menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Apa yang saya lakukan adalah menyalin kembali kusyen dan bantal itu kepada tenunan songket Brunei,” katanya lagi.

Rizalman yang ditugaskan mempersiapkan salinan pertabalan Raja Permaisuri Agong turut juga menyediakan persalinan buat putera dan puteri baginda.

Dalam wawancara yang berlangsung sekitar satu jam setengah di butik Rizalman di ibu kota itu, beliau bersyukur kerana keakrabannya dengan baginda Raja Permaisuri Agung disifatkan sebagai kurniaan Ilahi.

“Dipertanggungjawabkan menyiapkan persalinan Diraja serta Balairung Istana dalam waktu yang singkat, adalah satu memori terindah buat diri saya apatah lagi pengalaman ini dapat saya kongsikan juga bersama anak dan cucu kelak, serta rakyat Malaysia.

Raja Permaisuri Agong dan Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’Ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal ditabalkan pada 30 Julai ini.

Pada Januari lalu, Al-Sultan Abdullah dimasyhurkan menjadi Sultan Pahang keenam hasil keputusan sebulat suara Majlis Jumaah Pangkuan Diraja Pahang.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DD

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LepatPisang

Sumber: Astro Awani / gempak

Be the first to comment

Leave a Reply