Tujuh Beradik Berjaya Genggam Ijazah tapi 3 hari sebelum Konvo Adik Bongsu, Bapa Mereka Pergi Buat Selamanya

PEMERGIAN insan yang bergelar ibu atau bapa sememangnya cukup memberi kesan mendalam pada setiap anak.

Tidak boleh dibayangkan betapa kosongnya jiwa apabila kehilangan insan yang melahirkan, membesarkan dan banyak mengajar erti hidup.

Demikian juga dengan kisah seorang pemuda, Muslim Awang, yang kehilangan bapa tercinta akibat jangkitan kuman pada darah, baru-baru ini.

Berkongsi cerita dalam satu bebenang (thread) di Twitter, nukilan Muslim benar-benar membuatkan netizen turut sama merasai kesedihan yang dilalui pemuda itu dan keluarganya.

Menurut Muslim, adik bongsunya lebih terkesan memandangkan bapa mereka, Awang Jusoh menghembuskan nafas terakhir tiga hari sebelum mereka sekeluarga meraikan hari konvokesyennya.

“Sepatutnya pada 8 Oktober lalu adik bongsu meraikan hari konvokesyen selepas menamatkan pengajian peringkat diploma jurusan rekaan dalaman (Interior Design). Tapi abah pergi dahulu. Dan pada hari konvo itu, adik tak pergi kerana temankan ibu kami yang masih bersedih.

“Memang sedih sangat sebab abah sentimental orangnya. Dia akan masukkan dalam frame gambar anaknya konvo. Dekat rumah keluarga di Pasir Puteh, dia buat frame besar gambar konvo empat anaknya, manakala yang lagi empat anak, dia akan buat selepas adik bongsu konvo. Tapi apakan daya, Allah lebih sayangkan abah,” ceritanya kepada mStar.

Tangkapan skrin daripada IG Story adik kepada Muslim yang kemudian dikongsi pemuda itu di Twitter.

Terdahulu, perkongsian Muslim di Twitter yang disertakan gambar-gambar bersama allahyarham bapanya begitu meruntun hati netizen sehingga mendapat 19,600 ulang kicau (retweet).

Malah, netizen turut sama berkongsi kisah mereka yang kehilangan insan tersayang, selain memberikan kata-kata semangat buat pemuda tersebut.

Mengimbas kembali detik kehilangan ayahnya, Muslim yang juga anak ke-6 daripada lapan beradik berkata, bapanya jatuh sakit selepas pulang dari menghadiri majlis resepsi perkahwinan sebelah isterinya di Mersing, Johor.

 

Arwah pernah beritahu, dia mahukan anak ramai sebab mahu anak-anaknya yang uruskan jenazahnya nanti. Alhamdulillah, kami tunaikan hasrat abah. Malah, abang sulung yang imamkan solat jenazah abah.

MUSLIM AWANG

ANAK KE-6

“Abah sihat saja sebelum tu. Sehari sebelum resepsi sebelah isteri saya pada 14 September, dia siap basuh kereta untuk ke Mersing, padahal dia memang tak basuh kereta sendiri.

“Memang dia nampak excited sangat, tambahan lagi isteri saya merupakan calon pilihannya. Sehari selepas majlis iaitu semasa nak bertolak dari Mersing ke Pasir Puteh, arwah mengadu dia tak sihat dan rasa nak demam.

“Hinggalah pada 18 September, abah minta dihantar ke hospital sebab dia dah tak tahan. Dia sempat telefon bapa saudaranya beritahu nak masuk hospital dan berkata, dia tak pasti sama ada pulang rumah lagi nanti atau tidak,” cerita pemuda berusia 26 tahun ini.

Cerita Muslim lagi, bapanya dirawat hampir 20 hari di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 5 Oktober.

Salah seorang adik Muslim meluahkan kesedihan di IG Story.

“Hari ulang tahun abah jatuh pada tanggal 2 Oktober. Masa itu abah masih dirawat, kami adik beradik bacakan Yasin di sisinya. Kalau diimbas, semasa sambutan hari lahirnya yang ke-65 tahun lepas, abah pernah beritahu, ibu bapa serta adik beradiknya meninggal dalam lingkungan usia 60-an.

“Abah berkata, mungkin inilah sambutan hari lahir terakhirnya. Jika diingat, banyak yang abah beri petunjuk seolah-olah tahu ajalnya akan tiba. Malah, dia juga selesaikan bayaran serta hutang pembekal yang membekalkan barang kepada kilang perabotnya,”ujarnya lagi.

Muslim juga berkata, dia dan adik beradiknya berasa lega dan berpuas hati kerana dapat menyempurnakan hasrat Allahyarham.

“Arwah pernah beritahu, dia mahukan anak ramai sebab mahu anak-anaknya yang uruskan jenazahnya nanti. Alhamdulillah, kami puas tunaikan hasrat abah. Malah, abang sulung yang imamkan solat jenazah abah,” akhirinya.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DD

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @LepatPisang

Sumber: mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.